Selasa, 1 Mac 2011

Cabaran Yang Akan Dihadapi Oleh Golongan Belia



   Pada umumnya, peranan para belia masa kini dan akan datang sudah pasti akan menjadi lebih mencabar kemampuan dan ketahanan mereka. Sebagai pewaris negara di masa hadapan, mereka mesti memperlengkapkan diri sendiri dengan pelbagai kelengkapan dan persediaan yang secukupnya umpama para pejuang yang sentiasa berlatih bagi menghadapi musuh di medan perjuangan. Seterusnya, bagi menghadapi semua ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik pemikiran dan sikap supaya menjadi lebih positif dan proaktif. Untuk menjadi proaktif, idealisme dan keazaman yang tinggi amatlah perlu. Begitulah saranan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena perutusan Hari Belia Negara 2000, para belia harus mempunyai idealisme tinggi untuk mencapai kejayaan kerana tanpanya, tamaddun dan kehidupan mereka tidak akan maju dan sukar untuk mencapai kejayaan cemerlang.
Secara rumusannya, antara beberapa cabaran yang akan dihadapi oleh para belia menjelang alaf baru ini adalah seperti berikut:

1. Cabaran teknologi maklumat
Teknologi maklumat menjadi satu cabaran yang amat ketara kerana pelbagai bentuk maklumat kini dapat diperolehi dengan amat mudah. Memang banyak kebaikan seperti menambahkan pengetahuan dan maklumat awam. Semua ini timbul kerana adanya sumber maklumat yang terlalu canggih seperti sistem satelit, internet, telefon bergerak, aplikasi sistem maklumat tanpa wayar dan sebagainya. Ini memberi kesan amat ketara dalam hubungan antara individu, kenegaraan, hubungan sosial, kewangan dan industri serta sebagainya. Mungkin akan timbul keraguan dari segi ketepatan dan kesahihan maklumat yang disebarkan. Begitu juga dengan penipuan yang sudah pun wujud melalui sistem internet dan keruntuhan moral dan sosial masyarakat akibat penyalahgunaan sistem yang sama.

2. Cabaran pemikiran dan budaya
Pemikiran dan pandangan beberapa individu dan sesetengah negara terutamanya negara maju yang lebih bersifat menjajah dan menakluk menjadi lebih dominan dalam alaf ini. Contoh seperti pemikiran globalisasi, pembelaan alam sekitar dan isu hak asasi manusia yang lebih subjektif sifatnya sehingga menimbulkan persengketaan dan perang mulut. Namun, masalah penerimaan dalam keterpaksaan terus berlaku kerana kesan ancaman politik dan ekonomi serta ketenteraan yang akan timbul kelak. Sementara pengaruh budaya lebih bersifat menjajah ekoran kebebasan dan pengaruh media dan teknologi maklumat.

3. Cabaran mental dan emosi
Cabaran ini adalah terlalu subjektif. Tetapi, dalam apa juga tamaddun dan kehidupan manusia, individu yang merasakan dirinya kekurangan, tidak mampu dan kurang upaya atau ketinggalan daripada individu dan masyarakat lain akan menerima tekanan mental dan emosi yang lebih hebat lagi. Seterusnya, tekanan mental dan emosi akan menjadi lebih ketara lagi apabila sesebuah tamaddun manusia itu semakin maju dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini dapat dilihat dari status gejala sosial, seperti kes rompakan, peras ugut, pembunuhan dan bunuh diripenyalahgunaan dadah dan alkohol serta (penyakit mental), dan lain-lain.

4. Cabaran moral dan sosial
Daripada penilaian sejarah tamadun manusia, daya tahan moral dan sosial manusia akan menjadi semakin pudar dengan bertambah majunya kehidupan mereka. Budaya keselesaan (complacency), individualistik dan materialistik lebih menguasai kehidupan mereka. Tahap kebergantungan kepada pemahaman moral dan keagamaan terus lusuh dan longgar. Ini dapat dibuktikan berikutan timbulnya beberapa gejala yang sememangnya dilarang keras oleh ajaran agama seperti perzinaan dan bersekedudukan, pembunuhan, arak dan alkohol, perjudian serta sebagainya.

   Lantaran ini, menjadi tanggungjawab para belia kini untuk mendidik dan mempersediakan diri dengan pelbagai keupayaan yang ada. Tetapi bagaimanakah kaedah untuk mendapatkan persediaan yang benar-benar mantap? Mereka mestilah mengambil peluang yang sedia ada ini agar tidak menyesal di kemudian hari kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS